Jawatankuasa Bertindak PD Night Market
Peniaga-Peniaga PD Night Market, Pantai Saujana Batu 4, Port Dickson, Negeri Sembilan. Tel: 019-554 4780
No. 13, Jalan Bayu, Taman Bayu Batu 8, Telok Kemang, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan.
Tarikh: 30 Jun 2010
Biro Pengaduan Awam
Pejabat Negeri Melaka Dan Negeri Sembilan
Jabatan Perdana Menteri
Tingkat 3, Bangunan Bank Rakyat,
Jalan Hang Tuah,
75300 Melaka.
Tuan,
Merujuk Kepada Maklumbalas Kes 62901 Ruj. Tuan: CWG/MN/025/2010.06/MARA/62901 (6)
Saya Encik Zahari Bin Zakaria mewakili Peniaga-Peniaga PD Night Pantai Saujana Batu 4 berbesar hati menerima maklumbalas daripada pihak tuan. Setelah mengadakan perbincangan dikalangan para peniaga kami ingin menjawab berkenaan kronologi kes aduan tersebut:
2. Berikut adalah maklumbalas dari kami mengenai perkara tersebut berdasarkan perenggan yang digunakan oleh pihak tuan:
2.1 Untuk makluman, PD Night Market mula beroperasi pada 01 Mei 2007 dan bukannya pada tahun 2008. Pembukaan PD Night Market adalah tercetusnya idea dan direalisasikan diantara Mantan YB Tuan Mohd Faizal Bin Ramli selaku ADUN Bagan Pinang, Pegawai MARA Daerah, Encik Eizlan dan Persatuan D’Mara Batu 4, Port Dickson. Pada mulanya, pihak persatuan hanya membuka tapak dikalangan ahli mereka tetapi tidak mendapat sambutan. Berikutan itu, persatuan telah membuka kepada peniaga yang berminat untuk mengisi program yang dianjurkan oleh pihak persatuan dengan syarat perjanjian dan kadar sewaan seperti berikut:
· Penyewa mesti menjadi “Ahli Bersekutu” dan dikenakan yuran keahlian sebanyak RM 300.00
· Selaku “Ahli Bersekutu”, para peniaga TIDAK mempunyai hak untuk mengundi dan bersuara malah tidak pernah dipanggil menghadiri mesyuarat persatuan.
· Kadar sewaan permulaan adalah sebanyak sebulan sebanyak RM 200.00
· Pada Mei 2008 kadar sewa telah dinaikkan kepada RM 300.00 yang turut dihadiri mantan
Pegawai Mara Daerah pada satu perjumpaan di PD Perdana.
Pegawai Mara Daerah pada satu perjumpaan di PD Perdana.
· Pada 01 Januari 2010 kadar sewa diturunkan kembali kepada RM 250.00.
· Lesen perniagaan diuruskan diantara persatuan dan Majlis Perbandaran Port Dickson.
· Peniaga dijanjikan memperolehi lesen perniagaan, khairat kematian, insuran serta kemudahan asas seperti surau dan tandas tetapi tidak dipenuhi.
2.2 Perjanjian diantara peniaga dan persatuan adalah seperti berikut:
· Isnin : Tutup
· Selasa - Khamis : 03:00 Petang - 12:00 Malam
· Jumaat, Sabtu, Ahad dan Cuti Umum serta Cuti Sekolah : 09:00 Pagi - 12:00 Malam
2.3 Para peniaga akur mengenai syarat sejak mula beroperasi iaitu pada 01 Mei 2007 - Ogos 2009 (2 Tahun 3 Bulan). Peniaga mula mengekalkan tapak perniagaan sejak September 2009 sehingga premis perniagaan tersebut ditutup pada 04 April 2010, selepas mendapat kebenaran dari pihak Persatuan D’Mara Batu 4 melalui satu perjumpaan yang dihadiri oleh Pengerusi dan Setiausaha persatuan.
2.4 Aduan yang dikemukakan oleh penyewa premis MARA di Kedai MARA Batu 4 adalah TIDAK berasas kerana mereka adalah ahli Persatuan D’Mara Batu 4 yang menjadi penganjur PD Night Market. Selama PD Night Market beroperasi (2 tahun 10 bulan) pihak persatuan berjaya memperolehi pendapatan anggaran menjangkau RM 300,000.00 . Pihak persatuan tidak pernah menjemput para peniaga PD Night Market menyertai program yang dianjurkan seperti Hari Keluarga dan lain-lain aktiviti yang diluar pengetahuan kami sedangkan kami juga adalah “Ahli Bersekutu” . Kami cuma dijemput menghadiri program yang dianjurkan khusus untuk program PD Night Market.
2.5 Notis pertama diterima pada 29 Disember 2009 oleh pihak Persatuan D’Mara Batu 4 tetapi TIDAK diterima dan dimaklumkan kepada para peniaga PD Night Market. Badan Bertindak peniaga PD Night Market ditubuhkan serta merta apabila peniaga mendapat tahu hanya secara lisan manakala pihak persatuan D’Mara mula mengambil sikap lepas tangan dan pertemuan dengan Tan Sri Isa Abdul Samad selaku ADUN Bagan Pinang diaturkan dan berjaya ditangguhkan sehingga 31 Mac 2010. Notis kedua diterima oleh para peniaga PD Night Market mengarahkan pengosongan pada 31 Mac 2010 dan hanya berjaya ditangguhkan selama 4 hari iaitu sehingga 04 April 2010 melalui memo pada 29 Mac 2010 dari pejabat Menteri Besar. Para peniaga akhirnya bersetuju dan akur pada arahan pengosongan kawasan tersebut.
2.6 Pada 18 Mac 2010, Badan Bertindak telah menjemput YB Dato Yunus Rahmat selaku Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk mengadakan perbincangan tetapi TIDAK ADA persetujuan diantara peniaga, persatuan dan penganjur ekspo.
2.7 Kadar sewaan sebulan dan keluasan adalah TIDAK sama.
· Persatuan D’Mara : RM 265.00 untuk keluasan 20’ x 10’
· Pihak Ekspo : RM 500.00 untuk keluasan 20’ x 10’
· Perbezaan Kadar Sewa : RM 235.00 x 41 tapak niaga = RM 9,635.00 sebulan
Disamping itu susun atur ditapak ekspo tidak menarik, kotor, berterabur dan tidak menguntungkan semua peniaga dimana penganjur ekspo sendiri mengambil kesempatan menempatkan perniagaan mereka di pintu masuk tapak ekspo dan susunan tapak khemah dihadapan menutup tapak khemah dibelakang menyebabkan ramai peniaga luar yang masuk ke tapak ekspo tidak kekal dan ada yang bertahan hanya seminggu.
Peniaga juga tidak bersetuju kerana ada perbezaan ketara diantara konsep Persatuan dan Syarikat yang berasaskan keuntungan. Jika diambil kira kadar sewa yang ditetapkan, pihak penganjur ekspo mendapat tambahan pendapatan sebanyak RM 20,500.00 sebulan sedangkan pada masa PD Night Market beroperasi, pihak penganjur tapak ekspo gagal mencari penyewa untuk memenuhkan ruang sewa yang mereka sediakan berikutan fakta diatas. Sehingga kini ruang tapak niaga di ekspo berkenaan kosong dibahagian belakang dan TIADA peniaga PD Night Market yang berminat untuk menyertai program anjuran mereka. Sehingga kini tiada penyelesaian berjaya dicapai.
Hasil Siasatan:
Berkenaan lokasi memang bersesuaian tetapi tidak diselaras dengan baik. Persoalannya mengapakah pihak MARA Negeri memberi tender kepada sebuah syarikat yang berasaskan keuntungan berbanding persatuan yang telah berjaya menjadikan Pantai Saujana daya tarikan ramai pelancong dari luar Port Dickson sendiri dengan wujudnya PD Night Market yang terdiri 100 peratus peniaga bumiputera selama 2 tahun 10 bulan dan ianya disokong oleh Pegawai MARA Daerah sendiri, malah modal permulaan sebanyak RM 10,000.00 diberikan oleh MARA dalam bentuk peralatan khemah. Idea dan konsep perniagaan juga dibuat oleh MARA Daerah Port Dickson dan juga mantan YB Tuan Mohd Faizal Ramli selaku Adun Bagan Pinang sendiri.
Surat bertarikh 01 April 2010 mengatakan pihak peniaga bersetuju untuk menyertai pihak Syarikat Senawang Home Décor dengan menyertai ekspo yang dianjurkan oleh mereka hanyalah surat tawaran, tetapi tidak dipersetujui oleh para peniaga. Berkenaan pengekalan PD Night Market, pihak peniaga tidak hanya memohon lokasi pejalan kaki tetapi tapak lain yang bersesuaian kerana akur dengan ketetapan yang dibuat oleh MPPD tetapi memohon ditangguhkan dan menempatkan kami semua peniaga asal di tempat sementara sehingga tender yang dimenangi oleh Syarikat Home Décor tamat, dan kami diberikan keutamaan untuk menyewa pula tapak ekspo dengan kadar yang sama dibayar oleh syarikat tersebut kerana mampu meminimumkan kadar sewa dan MARA tetap mendapat hasil dari penyewaan tersebut.
Penutup:
Kami para peniaga PD Night Market Pantai Saujana Batu 4 memohon jasa baik Biro Pengaduan Awam memberi penyelesaian terbaik dengan pihak MARA dan MPPD serta agensi dan jabatan yang berkaitan untuk menempatkan kami di tapak perniagaan sementara memandangkan kesemua kami kini tidak lagi meniaga dan kesukaran yang dihadapi oleh kami untuk menyara diri serta keluarga memandangkan hampir 90 peratus dari kami adalah peniaga sepenuh masa.
Disamping itu selepas penutupan PD Night Market pada 04 April 2010, kami sentiasa berusaha mencari tapak perniagaan yang lain tetapi gagal sehingga kini kerana tiada pihak yang berminat untuk membantu kami serta tiada kerjasama yang baik dari pihak yang berkuasa.
Kami juga memohon pihak tuan dapat mengaturkan pertemuan diantara wakil peniaga, MARA, Persatuan D’Mara Batu 4, MPPD, Adun Bagan Pinang serta Pejabat Menteri Besar untuk penyelesaian masalah ini.
Kami meminta penjelasan yang munasabah mengapa setiap permohonan yang kami ajukan kepada pihak MPPD mendapatkan tapak ditolak (6 permohonan dan kertas kerja) sedangkan ada tapak yang disyorkan sendiri oleh pihak MPPD untuk dipohon tetapi tetap gagal.
Mengapa diskriminasi diamalkan terutama kepada penduduk tempatan, contohnya di Dataran Kemang tidak dibenarkan apabila kami memohon, tetapi penganjur dari luar daerah Port Dickson sering mengadakan ekspo perniagaan dengan kadar sewa sangat tinggi iaitu purata RM 1,500.00 untuk khemah bersaiz 20’ x 20’ hanya selama 3 hari.
Bagi pihak para peniaga PD Night Market Pantai Saujana Batu 4 Port Dickson, kami memohon jasa baik pihak tuan untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi kami dengan segera. Semoga cogankata “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” bukan sekadar motto tetapi ianya dapat direalisasikan dengan baik dan cemerlang.
Sekian, terima kasih.
- - - T A N D A T A N G A N - - -
…………………………………………………………...
(Encik Zahari Bin Zakaria @ Chegu Zul)
Wakil Peniaga
PD Night Market Pantai Saujana Batu 4
Ruj. Tuan: CWG/MN/025/2010.06/MARA/62901 (6)
No comments:
Post a Comment